Anda berminat untuk memanah, lebih-lebih lagi
untuk memanah secara sunnah, malahan anda berminat untuk menjadi golongan
ghuraba yang tekad untuk membebaskan diri dari segala bentuk perhambaan,
kecuali perhambaan secara mutlak kepada Sang Pemilik Alam Semesta.
Tapi anda bimbang anda akan disalah-erti. Anda
bimbang masyarakat awam akan curiga melihat anda, sebagai golongan yang
berpotensi mencetuskan kekacauan kepada keamanan dan keharmonian.
Jika anda mempunyai keraguan untuk memiliki
busur dan anak panah atau mengenai aktiviti memanah disebabkan faktor
undang-undang, berikut adalah fakta penting yang anda perlu tahu.
Memanah digazetkan sebagai satu bidang sukan
di Malaysia dan tertakluk kepada Akta Pembangunan Sukan 1997 (Laws of Malaysia
– Sports Development Act 1997).
Busur dan anak panah diklasifikasikan sebagai
peralatan sukan dan tidak memerlukan apa-apa permit atau lesen dari pihak berkuasa;
untuk memiliki atau menggunakannya. Tidak ada pengkelasan khusus dari sudut ini
yang membezakan antara busur tradisional, busur kompaun atau busur moden untuk
pertandingan di sukan olimpik.
Namun begitu ada beberapa keadaan tertentu
yang boleh menyebabkan anda ditangkap dan didakwa oleh pihak berkuasa yang
berkenaan bersabit dengan panah dan busur.
1. Pelbagai kesalahan
memburu dengan busur dan panah bersabit spesies hidupan liar yang
diperlindungi.
RANG UNDANG-UNDANG PEMULIHARAAN HIDUPAN LIAR
2010 (Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan).
Sehingga tarikh ini, busur dan panah adalah
BUKAN senjata berburu yang sah di Malaysia.
2. Kesalahan yang
boleh disabitkan mengikut Akta 357 Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan
Letupan dan Senjata Ofensif 1958.
Seksyen 6(1) Akta 357 memperuntukkan, mana-mana
orang yang membawa atau memiliki di mana-mana jalan atau tempat awam apa apa
senjata ofensif kecuali dengan kebenaran yang sah bagi maksud yang sah, adalah
menjadi satu kesalahan dan jika disabit kesalahannya boleh dijatuhi hukuman
penjara tidak lebih daripada dua tahun dan juga sebatan.
Kesalahan ini merujuk kepada semua jenis
senjata berjadual* di dalam akta yang sama, tetapi terguna-pakai untuk segala
jenis ancaman senjata lain secara UMUM dengan kehadiran 3 faktor berikut;
1. Wujudnya ‘senjata ofensif’ iaitu apa-apa
peralatan yang sekiranya digunakan untuk menyerang boleh mendatangkan
kecederaan kepada tubuh badan.
2. Berada di dalam tempat awam.
3. Bermaksud mendatangkan kecederaan.
* Takrifan ‘senjata berjadual‘
bermaksud sebarang senjata ofensif yang disenaraikan di dalam Jadual Kedua Akta
357 (rujuk di bawah).
FAKTA 1 – Membawa busur dan panah sahaja tidak
dianggap sebagai membawa senjata ofensif di tempat awam. Sentiasa pastikan anda
tidak menjadi ancaman kepada orang lain.
FAKTA 2 – Di sebaliknya pula, membawa
apa-apa senjata ofensif berjadual(walaupun tersembunyi) telah
dianggap sebagai membawa senjata ofensif berbahaya di tempat awam.
Senarai Senjata
Ofensif Berjadual.
AKTA 357: AKTA BAHAN-BAHAN KAKISAN DAN LETUPAN
DAN SENJATA BERBAHAYA 1958.
JADUAL KEDUA (Seksyen 2 dan 12).
1. Segala jenis pisau, kadang-kala dikenali
sebagai ‘flick knife’, yang mengeluarkan bilah secara automatik dengan menekan
butang, spring dan sebagainya pada gagang pisau.
2. Segala jenis pisau, kadang-kala dikenali
sebagai ‘gravity knife’, yang mengeluarkan bilah dari gagang atau sarung
melalui tekanan graviti atau kuasa pusat putaran, yang mana bila dilepaskan,
akan terkunci pada tempatnya dengan sesuatu butang, spring, tuas dan
sebagainya.
3. Alat sebatan/libasan (whip) diperbuat daripada
rantai basikal atau motosikal, atau seumpamanya.
4. Semua jenis buku lima (knuckleduster).
5. Semua jenis bilah atau alatan lain yang
dilekatkan ke atas, atau membentuk sebahagian pam basikal, paip besi atau
pemegang yang berupaya digunakan untuk menghiris atau menikam.
6. Sebarang peralatan seperti pisau dengan tiga
mata yang tajam dan hujung yang runcing, kadang-kadang dipanggil sebagai
‘bearing-scraper’.
7. Senjata berbentuk kapak kecil.
8. Sebarang pedang, keris, parang atau pisau yang
padanya tertulis atau terukir sebarang perkataan, ayat atau gambaran yang
berkaitan dengan sesuatu agama atau kepercayaan.
9. Sebarang jenis pedang atau parang yang
kebiasaannya digunakan sebagai senjata dan bukan untuk tujuan pertanian,
kegunaan rumah atau taman bercucuk tanam.
10. Lembing dan mata lembing.
11. Panah-silang (crossbow).
12. Patrolite, Stun Gun, Taser, Control Club atau
peralatan seumpamanya, yang berkuasa bateri atau dari apa-apa juga sumber
tenaga.
Senjata berjadual hanya tidak menjadi kesalahan ketika
berada di premis persendirian. TIADA permit dikeluarkan atau diperlukan untuk
menyimpan senjata berjadual, tapi pastikan anda mempunyai sebab
yang kukuh.
Kesalahan
berkaitan senjata berjadual
Seksyen 7(1) Akta 357
memperuntukkan, sesiapa yang, melainkan bagi tujuan yang tidak menyalahi
undang-undang –
(a) membawa atau
memiliki di bawah kawalannya;
(b) membuat, menjual atau menyewakan atau menawarkan untuk menjual atau menyewakan; atau
(c) meminjamkan atau memberikan kepada mana-mana individu;
(b) membuat, menjual atau menyewakan atau menawarkan untuk menjual atau menyewakan; atau
(c) meminjamkan atau memberikan kepada mana-mana individu;
mana-mana senjata berjadual adalah
menjadi kesalahan dan jika disabit kesalahannya boleh dijatuhi hukuman penjara
tidak lebih daripada dua tahun, atau denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau
kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan kali kedua boleh dijatuhi hukuman
penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tiga tahun.
Undang-undang sedia-ada sebenarnya bertujuan
menjamin keselamatan dan ketenteraman awam. Jika anda memanah dengan sebab yang
benar, tidak ada sebab untuk berasa gusar. Namun begitu, sentiasalah berwaspada
dengan mengambil langkah keselamatan yang perlu semasa memanah kerana busur dan
panah adalah senjata yang boleh membunuh dan juga mengakibatkan kecederaan yang
serius.